28.7.10

To unwrap one-self

Aku bukan manusia yang melimpah dengan rasa gembira walaupun berkebolehan untuk berpura-pura begitu 24/7, sudah sebati agaknya. Seperti juga langit, takkan selalu cerah. Takkan juga selalu gelap dan mendung. Ada juga pelangi sekali-sekala di kakinya. Dia juga tahu menangis bila terlebih beban.

Dan bila dia menangis, hujan pula muncul. Setiap titis yang jatuh bagaikan melodi untuk jiwa yang merusuh. Bunyinya, baunya. Hujan bagaikan seorang teman baik tempat dicurah cerita segala lara yang terwujud. Aku ini; sangat sukakan hujan kerana hujan selalu jujur.

Manusia, kalaupun jiwanya besi buatannya, tetap juga berkarat. Tidak ada manusia yang langsung tidak beremosi, cuma mungkin dikekangkan dari menjadi pameran jalanan mata-mata yang mencuri pandang. Mungkin jiwanya sensitif, atau langsung tidak sesuai untuk dikongsi semua.

Dan aku; cuma mahu segala yang aku pinta angankan bergolek ke mari dan kekal saja di sini. Tidak di sana mahupun di situ. Memang usaha aku ke arah itu. Untuk punya untung begitu. Bukan tamak bukan untuk berkemahuan seperti ini? Aku ini baik orangnya.

Tetapi dunia selalu bohong padanya.

26.7.10

Mimpi

Aku seperti lost. Sekeliling aku ramai manusia asing. Dalam tercari-cari kelibat kau, aku disapa seorang teman baik (berlainan jantina) zaman sekolah dahulu. Dia adalah antara manusia yang aku kirakan boleh dibuat teman untuk hidup lama bersama. Sempat kami berborak mesra seketika. Out of the blue, kau datang sambar tangan aku. Kau genggam tangan aku benar erat. Buat nafas aku sedikit tersekat kerana tersentak. Kau dan aku berjalan seiringian untuk mengejar penerbangan kita; dan tangan aku masih setia dalam genggaman kau. Rupanya kita seperti telah merancang untuk ke satu destinasi. Aku bagai mengizinkan saja kau mengheret aku; seperti memang itu yang aku nantikan dari awal tadi.

Aku terjaga dan terus memandang tepat pada tangan kanan aku. Mimpi itu berhenti di situ saja. No matter how hard I try to continue dreaming about it, I failed. Dan aku gusar destinasi manakah yang kita tuju ketika itu.

It felt so real. Dan aku tahu itu cuma mainan semata.

23.7.10

Aku Memang Begini

Di setiap tertembung malu, aku larikan pandangan ke tempat lain. Jiwa-jiwa dari langit bagai membeku. Sayup-sayup berlalu segala resah setelah terlalu lama mendiam. Diam lagi. Sepi. Degupan kian perlahan. Aku tarik nafas singkat berulang kali. Dan cuba mencuri pandang sekali lagi tanpa serik dengan ulangan-ulangan yang mengekori tanpa lelah.

Mahu tahu kenapa?
Kau tak pernah membosankan aku.

14.7.10

Aku Tidak Seberuntung Itu

Lukaku semakin melebar. Selebar senyuman seorang juliarobek. Duri-duri yang menyesatkan hati aku buangkan satu persatu.

Aku tidak seberuntung seorang putera raja. Yang makan minumnya terjaga. Yang setiap katanya didengari dan dihormat patuh. Walau mungkin soal hatinya sedikit terbatas atas dasar darjat yang diagungkan, dia tetap lebih beruntung daripada aku yang dipijak-pijak ini.

Malam tetap menjadi pilihan daripada siang berpanaskan mentari.

10.7.10

Dia Bukan Robot; Dia Punya Hati Dan Perasaan

Setelah lama begini, dirinya kandas juga. Bahu yang memeluk manja sudah tidak ada. Yang tinggal cuma rangkulan lemah diri sendiri, berpura konon seperti ada yang sedang memegang erat diri dalam ruangan imaginasi tanpa batas. Imaji yang direka kini cuma tinggal bayangan kosong. Dia sudah tidak mampu; dan dia tahu itu.

Seretan kakinya lemah menuju ke satu sudut. Satu-satunya sudut kosong yang tinggal dalam ruang yang didiaminya. Bucu di antara dua dinding paparan karya coretan dia. Tampalan-tampalan lukisan hati yang rapuh. Ayat-ayat perobek yang hancur. Hatinya yang rusuh kini digenggamnya erat dalam dakapan sendiri. Betapa dia sudah tidak dapat bertahan lagi untuk terus celik. Dia pejamkan matanya - perlahan-lahan butiran jernih gugur menuruni pipinya dan mencecah lantai ruang itu.

Basah. Bantal tempat lentoknya basah. Mimpi bagai realiti. Realiti bagai mimpi. Dibukanya mata luas-luas. Menelan liur yang terasa begitu berpasir. Peluh-peluh mula memenuhi liang roma. Kipas yang ligat berpusing dipandangnya sekilas. Membisu tanpa sebarang kata; dia terus bangun menuju ke bilik air.

Azan Subuh sayup-sayup kedengaran dari masjid berdekatan.

Dia bukan robot; dia juga punya hati dan perasaan.

8.7.10

Just Guessing

I guess we stop wondering on how life is created each day by day; how God made it easy for us to discover and learn new things we sometimes do not even planned about.

3.7.10

Harapan Adalah Doa Dari Hati

Segala yang aku paparkan. Segala yang aku catitkan di ruang ini, adalah doa dari hati aku. Dengan sedikit adunan akal beserta calitan jiwa yang setiap kalinya cuba berpaut; tapi lemah untuk meloloskan diri dari kurungan.

Kurungan; adalah penjara yang menjadi halangan untuk pergerakan bebas aku. Didorong oleh perasaan kecewa dengan sejarah terdahulu, aku kekadang terpaksa saja akur dengan hukum realiti. Kenyataan; pahit macam hempedu sekalipun aku teruskan saja.

Memilih untuk menghirup kopi pekat tanpa gula adalah antara langkah-langkah untuk membiasakan diri dengan realiti yang menggigit ini.

Aku hanya manusia biasa-biasa seperti kamu. Atau mungkin kamu agak luarbiasa kerana bagaikan magnet menarik aku mendekati dan bertahan untuk tempoh lama. Mungkin kamu sebenarnya guardian angel (malaikat pelindung) yang aku tunggu-tunggu selama ini.

Mungkin Tuhan sudah mengkabulkan doa dari hati aku.