21.5.20

Gelap II

Setelah beberapa ketika bertapa di dalam lubang gelap tadi, aku tersedar akan sesuatu. Barangkali cara keluar bukan-lah dengan memanjat ke atas. Kesan-kesan tanah yang meruntuh aku tenung lama. 

Aku mula membuat cubaan untuk mengorek dinding tepi sedikit demi sedikit. Berhasil. Cuma perlu menapak ke atas dengan landai. Sangat mengambil masa untuk membina jalan keluar, akan tetapi yang ini bakal membuahkan hasil dan aku akan selamat saja. Mengeluh sedikit memikirkan masa dan tenaga yang terbuang sejak berminggu yang lalu. Tetapi sedikit lega memikirkan mungkin ini jalan keluar yang aku perlukan untuk kembali mendapatkan cahaya, serta bekalan udara yang bersih. Cukuplah bersesak hilang nafas di sini untuk tempoh yang sudahpun berlalu, aku tak mahu terus menerus kehilangan diri lagi.

Benar-lah orang kata, isolasi diri dengan bekalan oksigen yang disekat boleh membunuh.

20.5.20

Rindu // Draf 26 September 2017

Berkali-kali aku tenangkan diri. Cuba untuk berfikir tenang tentang hari-hari yang tidak lagi punya kamu di dalamnya. Kabut. Hati aku masih merindu dan merusuh manja dari masa ke semasa.


Gelap I


Aku dalam lubang gelap di tengah hutan, cuba merangkak keluar, memanjat tebing yang tinggi. Setiap kali tangan berjaya memegang batu-batu di dinding, usaha nak mengangkat diri tetap tak berhasil bila batu-batu kecil tersebut runtuh berderai. Aku perlu mencari dan memegang batu yang besar dan melatih kekuatan diri dengan baik sebelum mencuba lagi. Kerna berulang kali begini, yang aku dapat cuma penat dan tangan yang kian tak bermaya.

Diam di situ, banyak benda bermain di benak fikiran. Sesekali aku cuba menjerit meminta tolong, kalau-kalau ada yang mendengar. Cuma siulan burung-burung hutan yang menyahut, memberi sedikit hiburan dalam sunyi sendirian. Ada yang singgah bertenggek di tebing, bagaikan duduk saling berbicara dengan aku yang semakin banyak termenung.
Berkira-kira tentang pilihan yang ada, aku sedar aku penakut dan lemah.

19.5.20

Kehidupan sedang tidak menyebelahi aku. Aku mula berkira-kira untuk mengambil baju putih yang ada dan mengibarnya tinggi-tinggi di atas kepala. Beri isyarat mengaku kalah kepada Yang Menguji.