8.11.11

Sempadan IV

Aku tak punya jawapan untuk persoalan-persoalan dan kegilaan-kegilaan yang terbentang depan sana. Terlalu banyak untuk diselesaikan. Terlalu banyak juga untuk ditinggalkan. Bahkan menoleh ke belakang pun mampu menterbalikkan kewarasan akal aku.

Boleh gila.

Setiap langkah memori yang sudahpun berlalu sebenarnya sering saja melambai di muka pintu, meja makan, ruang tingkap, gelas yang dipegang, kek yang dikunyah, bau udara lembab selepas hujan, warna lusuh jeans yang dipakai, minyak wangi, juga setiap kali aku gunakan cermin di bilik mandi dan sewaktu di kamar tidur.

Jangan fikir bukan-bukan kawan, heh.

Refleksi yang aku terima mampu gugupkan jiwa aku sendiri; mengingatkan aku pada bayangan redup sepasang mata coklat cair yang sering kelihatan tenggelam dalam dunia lain, walaupun pada suasana muzik keras yang berdentam-dentum ataupun bingit teriakan manusia-manusia yang cuba meliar melibatkan diri untuk kelihatan gah di kelompok majoriti.

Kau terlalu menyimpan sayang. Aku pula terlalu cuba untuk cuma mendengar.

Kalaulah aku mampu menolak segala penyelewengan, segala penipuan, segala bohong dan omongan bodoh yang wujud di sekitar sini untuk kau. Percayalah, tak ada lain yang aku mahu laksanakan selain daripada untuk menggembirakan hati yang di hujung sana.

Bersebelahan begini pun kau berasa sungguh jauh. Payah untuk aku gapai. Betapa aku berharap yang aku mampu rangkul tubuh kau dekat sini dan berlama begitu untuk beberapa tempoh waktu.

Tak banyak yang aku ada. Tapi aku boleh beri kau cinta.

2 comments:

  1. Tak banyak yang aku ada. Tapi aku boleh beri kau cinta.

    Kdng2, kita rasa, kita laa paling bertuah ada dia di sisi kita. Kdng2, kita rasa, kita laa paling sayang ke dia.

    Tapi sebenarnya? Ada hikmah di sebalik semuanya. Sabar yee!

    ReplyDelete