26.7.11

Realisme

Manusia tak pernah boleh lari dari berbohong. Hipokrit mungkin. Atau dalam kesempitan untuk menyembunyikan perkara-perkara yang dirasakan berat untuk diluah. Apa yang membezakan penipuan-penipuan ini cumalah isinya.

Ataupun cara ia dilaksana.

Melihat pada dinding yang tak seberapa putih mengikut warna cat asal di depan, aku semakin hilang dalam pernyataan diri. Proses menamatkan segala khayalan dan imaginasi yang membiak tanpa segan ini tak mudah. Gambaran dan memori yang lama sudah kembali menari-nari dalam ruang minda. Perkara-perkara halus menjadi lebih jelas. Yang samar dulu tiba-tiba luas terbentang depan mata. Aku tak pernah bersedia untuk semua ini. Sungguh di luar korpus pemikiran aku. Aku tak menjangka hubungan yang aku anggapkan sehala ini tiba-tiba menakluk hampir 87 peratus aku. Kalau aku teruskan lagi dan esoknya kecundang, maka aku boleh mati dan tak mampu untuk bangun menggagah.

Ada teman yang tak sudah-sudah memberi kata jodoh itu perlu dicari dan wajib ada usaha dalam pencarian itu. Usaha yang bagaimana tidak pernah dijelaskan dengan terperinci. Perlukah aku bersiul-siul mesra di jalanan untuk menakluk hati manusia-manusia yang sedang rawan seperti aku? Meladeni dan mengubat luka dengan kesengsaraan orang lain. Heh. Anekdot jiwa. Konon terubat dengan patah hati manusia lain.

Untuk menyuara dan melaung segala penat dalam hati, kekuatan jiwa yang bagaimana perlu aku bentukkan? Dia yang di atas sana saja yang tahu kesusahan yang melanda. Tapi persoalannya sejauh mana usaha aku untuk ambil pusing hal ini? Untuk lentok bermanja dengan Dia? Parah. Mungkin benar ini bukan langkah yang betul untuk aku teruskan lagi. Tapi aku juga tak cukup kuat untuk berundur.

Untuk masa yang sedang membeku, aku putuskan untuk berhenti seketika.

3 comments:

  1. aku juga seperti kamu..Tidak mampu lagi untuk meneruskan perjalanan. Tapi untuk berundur juga aku tidak mahu..yang aku mampu hanya berdoa, moga ada orang yang dapat memimpin aku untuk terus berjalan..kerna aku sudah lelah untuk menghadapi semuanya sendirian..

    ReplyDelete
  2. Miss Lya - Breath-less.

    dobot - Kena tunggu kejap. Takkan nak rempuh. Heheh.

    ReplyDelete