Ada satu tempoh di mana aku dan kau sangat dekat. Terlalu dekat hingga dapat aku rasa setiap hela nafas kau. Hidu bau kau. Pandang anak mata kau. Teliti setiap urat rambut kau. Dekat. Rapat.
Rapat hingga tidak punya sebab untuk bertanyakan khabar, keluar bersama untuk ke tempat-tempat terpilih untuk makan dan minum, mengabdikan waktu itu cuma untuk merasa kehadiran masing-masing. Cukup.
Kau selalu juga menzahirkan rasa betapa kau tidak gemar untuk membalas mesej-mesej pesanan ringkas dan kau hairan bagaimana manusia lain boleh berbelanja banyak masa untuk tujuan itu. Namun tetap saja kau dan aku menggunakan medium sama untuk berkomunikasi. Dari tiada menjadi ada. Dari jarang-jarang menjadi makin kerap. Dari pagi hingga ke tengah malam. Berlanjutan ke awal pagi.
Mengenali sisi diri kau yang tak dipamer kepada umum, semakin lama semakin aku jatuh. Semakin rapat. Dekat. Aku mula sangsi dengan perasaan sendiri.
Selepas beberapa ketika yang agak lama, kita sudah tiada lagi.