29.11.11

Of all what matters

If only the single chance that we have, is literally only a split of second glances; then what next?

Captured

Terdapat partikel kecil dalam diri aku yang masih tanpa penat memberi ruang untuk kau bersemadi aman di dalamnya. Pergolakan jiwa yang berlaku, jarang sekali menggugat goyah kedudukan yang kau ungguli.

Pada ketika minda separuh sedar begini, dalam keadaan mata yang terkebil-kebil melayan pandangan yang samar-samar berbekalkan lampu-lampu di luar jendela bilik, aku tahu diri aku sebenarnya sudah rabak. Dah lama.

Sebolehnya aku cuba untuk tidak berfikir panjang tentang beberapa perkara sensitif lampau. Tetapi kalau sudah pahit rasanya, berbalang gula-gula pun belum tentu dapat menghilangkan rasa tersebut.

Terlalu banyak sudah kisah bodoh yang diulang tayang tapi sekarang ini aku cuma buat dek. Pura-pura lali. Lagi dilayan, membuak-buak amarah aku nak kena sumbat dalam poket serbaguna.

Warna-warna dunia semakin pudar. Macam dah tak ada apa yang tinggal. Moganya aku kukuh untuk di sini dengan pasak yang ada.

Hingga tamat.

21.11.11

Daun-daun kering yang bertaburan di jalan tar terbang dibawa angin. Hujan mulanya sedikit-sedikit. Tak lama lepastu kilat menyambar dan guruh berdentam-dentum. Ribut. Agak keributan juga aku dibuatnya dengan baju-baju, seluar jeans dua tiga yang lembab masih bersidai di ampaian belum berangkat.

Dah tak banyak masa yang tinggal sebenarnya, kan?

18.11.11

Menolak angin dan debu-debu ke atas

Untuk waktu sekarang.
Untuk seketika yang ini.
Untuk masa yang sedang galak berlari,
aku harap kau baik-baik saja di sebelah sana.

17.11.11

;;

Ada sepi yang direnung dalam pada air kopi pekat yang terhidang di depan. Dalam keadaan diam, masa yang berlalu dalam rentak lemah, melodi yang dipasang sedikit perlahan bunyinya, melankolik sungguh.

Klise.

12.11.11

,,

Aku masih cuba menjadi sebuah kejadian Tuhan yang paling bermakna dalam hidup kau.

8.11.11

Sempadan IV

Aku tak punya jawapan untuk persoalan-persoalan dan kegilaan-kegilaan yang terbentang depan sana. Terlalu banyak untuk diselesaikan. Terlalu banyak juga untuk ditinggalkan. Bahkan menoleh ke belakang pun mampu menterbalikkan kewarasan akal aku.

Boleh gila.

Setiap langkah memori yang sudahpun berlalu sebenarnya sering saja melambai di muka pintu, meja makan, ruang tingkap, gelas yang dipegang, kek yang dikunyah, bau udara lembab selepas hujan, warna lusuh jeans yang dipakai, minyak wangi, juga setiap kali aku gunakan cermin di bilik mandi dan sewaktu di kamar tidur.

Jangan fikir bukan-bukan kawan, heh.

Refleksi yang aku terima mampu gugupkan jiwa aku sendiri; mengingatkan aku pada bayangan redup sepasang mata coklat cair yang sering kelihatan tenggelam dalam dunia lain, walaupun pada suasana muzik keras yang berdentam-dentum ataupun bingit teriakan manusia-manusia yang cuba meliar melibatkan diri untuk kelihatan gah di kelompok majoriti.

Kau terlalu menyimpan sayang. Aku pula terlalu cuba untuk cuma mendengar.

Kalaulah aku mampu menolak segala penyelewengan, segala penipuan, segala bohong dan omongan bodoh yang wujud di sekitar sini untuk kau. Percayalah, tak ada lain yang aku mahu laksanakan selain daripada untuk menggembirakan hati yang di hujung sana.

Bersebelahan begini pun kau berasa sungguh jauh. Payah untuk aku gapai. Betapa aku berharap yang aku mampu rangkul tubuh kau dekat sini dan berlama begitu untuk beberapa tempoh waktu.

Tak banyak yang aku ada. Tapi aku boleh beri kau cinta.