24.9.11

Aku mungkin telah pergi.

Dalam satu fasa yang singkat, pelbagai kefikiran telah singgah dan menukarkan beberapa pemahaman aku tentang segalanya. Ya, segalanya.

Aku bukanlah cuma mengambil masa yang sedikit untuk menimbang-tara semua perkara yang berkisar di sekeliling ini. Lama sudah.

Bertahun sudah dan aku mengerti kalau-kalau ada yang menuding jari mengatakan aku salah. Aku bersedia untuk menghadapnya dengan cermin ajaib.

Tapi aku masih aku. Masih aku yang memuja seorang kamu.

Cliche.

Nilai-nilai hidup yang meninggalkan aku kejar kembali sederas mungkin. Masakan perlu dibiarkan saja benda yang berharga jika masa depan nanti untungnya aku.

Kehidupan yang ada sekarang ini, yang aku sedang genggam ini adalah masa depan dari masa lampau waktu aku masih berhingus dulu. Jadi kenapa perlu merancang lebih tentang masa depan lagi? Supaya nanti bila bulu-bulu di badan kau melanjut usianya menjadi putih dan gugur semuanya, kau dapat imbau kembali yang itu adalah masa depan di waktu lampau kau yang sekarang ini sedang berlaku?

Ah, ayat aku berbelit-belit. Boleh tergigit lidah.

Aku harap kau faham yang aku masih di sini--cinta hidup.

23.9.11

Kugiran dari hati yang lara

Tut tut tu du tut tu du tut tu du pa pa.

Cuba menolak segala asakan ke atas bukan caranya. Nak pijak pun bukan caranya.

Aku suka kau.

16.9.11

Mula kembali

Menikmati detik-detik yang berlalu dengan kemalasan. Asyik. Solitud yang dulu aku kejar-kejar bukanlah apa yang aku mahu sebenar-benarnya. Atau masih saja aku mahu. Cuma ia bukanlah keperluan wajib kepada masa depan yang aku cuba lukiskan. Ia lebih kepada kemahuan yang menyeksakan. Seperti memesan neraka dalam hati. Panas, pedih tak berkesudahan. Kau tahu perasaan bila kekuatan sudah pupus, tapi kau paksa diri lakukan bermacam aktiviti selain tidur? Loya. Migrain pun mampu serang mudah.

12.9.11

Terma dan syarat

Rentak hujan yang bertemu zink di luar aku telitikan. Sekejap ada, sekejap diam. Lama sedikit diam terus. Lebih lama dari itu ada balik.

Emosi yang mengawal sebelum ini aku sudah kawal. Biarlah kelihatan seperti tidak ber-perasaan mana pun, asal bahagia. Heh. Malam selalu buat aku merapu, berseorangan begini. Nikmat bau selepas hujan tak akan sama di mana-mana tempat dan masa. Nikmat itu asyik tapi dengan rasa yang berlainan. Semacam makan ais krim. Seronok makan ais krim. Tapi makan ais krim tika hari panas terik, bila di taman bunga, sewaktu memandu kereta dan bila dibelanja kawan memberi rasa yang berbeza.

Kecondongan akal aku sekarang mula melonjak ke masa depan yang tak pernah-pernah aku ambil kira mana sebelum ini. Sedikit perhitungan tentang duit, duit dan duit bermula. Dunia sekarang, tak ada nak bebas mana kalau kau tak berduit. Duit pula diperoleh dengan memperhambakan diri pada duit sendiri. Jadi, apa yang kau bangga-banggakan tentang kebebasan sebenarnya?

Tertakluk pada diri sendiri.