Aku cuba bentukkan beberapa kejadian semalam untuk dijadikan panduan pada hari ini. Hari ini di mana aku diletakkan dalam pusingan-pusingan rapuh manusia yang tak pernah ambil peduli perihal hati yang lebur, jiwa yang rongak dan akal yang hancur.
Tuhan. Aku sudah penat berlari mencari konklusi yang tersembunyi dalam lipatan baju-baju mahal, celahan semak hutan, kicauan burung yang hinggap di atas kabel elektrik depan rumah, deruman enjin kereta yang dimodified, pekik lolong anak kecil yang merengek mahukan perhatian, dan ketergesaan semua manusia yang kononnya sedang mengejar kepentingaan hidup. Aku benar sudah penat. Aku rindukan bau hujan yang bebas asap kilang yang beracun, udara yang punya ombak kuat cuba bermanja dengan setiap kalinya menyapa pantai yang diam.
Jika dunia benar perlukan aku untuk meneruskan kerja-kerja duniawi; aku pula perlukan kau untuk terus. Maka mari sini. Duduk dengan aku. Tiupkan aku beribu perasaan baru tentang hidup. Ceritakan aku pelbagai kisah lucu tentang hidup. Juga tentang sakit dan parah kisah mati. Biarkan aku telan sedalam mungkin untuk lebih memahami. Kalaupun aku seorang yang perlu bersusah untuk hormatkan segala, tak mengapa. Asalkan kau wahai manusia, ada di sisi aku selaku side mirror untuk membantu betulkan jarak dan posisi untuk aku terus selamat.
Maka, Tuhan--lanjutkan lagi tempoh pertemuan ini.